KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah bersedia melaksanakan pemberian rebat RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G kepada belia berumur 21 hingga 30 tahun, mulai 1 Jan depan. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yakinprogram itu dapat dijalankan tanpa sebarang masalah berikutan persiapan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang sangat baik.
Kementerian itu bagaimanapun sedang meneliti makna sebenar istilah'smartphone' yang digunakan dan kadar harga yang melayakkan pembeli menerima rebat tunai, katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi 2012 kementerian itu di Muzium Negara di sini, Khamis.
"Bila itu beres, saya kira tiada hal lagi (untuk pelaksanaan pemberian rebat). Ramai yang bertanya, jadi kita nak beri ruang secukupnya supaya mereka boleh berhubung terus dengan SKMM atau kedai-kedai dan ejen yang sudah didaftar,"katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2013 di Parlimen September lepas, mengumumkan pemberian rebat RM200 secara 'one-off'bagi golongan belia membeli satu unit telefon mudah alih pintar 3G bertujuanmembuka akses maklumat kepada mereka. Mengulas mengenai kajian semula garis panduan proses pembelian drama daripada syarikat penerbitan tempatan terutama dalam aspek bayaran, Rais berkata ia akan dijalankan mengikut harga pasaran.
"Jika perlu kita buat kadar baru, insya-Allah kita buat. Tapi pada masa ini RTM merupakan pemberi bayaran tertinggi kepada drama atau telemovie. Harap stesen lain seperti Astro dan Media Prima dapat samakan kadarnya dengan RTM," katanya.
Rais berkata objektif utama kajian semula itu adalah supaya industri kreatif negara yang melibatkan bakat mendapat pengiktirafan sewajarnya. BERNAMA
mStar Online : Rebat Telefon Pintar 3g Dilaksana Januari Tahun Depan - Rais